Rabu, 5 Ogos 2009

Cerita lama.. seawal pengalaman di London..

Sengaja aku muatkan entri kali ini dengan cerita lama, cerita ketika bermulanya pengajian PhD ku pada Oktober 2008 di Imperial College London. Pada ketika itu, bermacam2 perasaan bercampur-baur, maklumlah pertama kali merantau dan pertama kali jua menjejakkan kaki ke Imperial College London, yang terkenal di kalangan para ilmuan sebagai antara universiti terkemuka dan terhebat di dunia, khususnya dalam bidang kejuruteraan. Dengan berbekalkan pengalaman dan ilmu yang cetek yang rasanya baru sahaja dikoleksi dari universiti tempatan dahulu, kini berdepan dengan PhD, terasa agak rendah pertimbangan diri. Namun begitu, aku tetap yakin bahawa ilmu itu semua kepunyaan Ilahi, pada-Nya jualah kita meminjam lalu menyerah mengabdikan diri dengan iringan taqwa.
.
'Seawal aku berada di London'.. seronok juga kalau aku kongsikan cerita ini. Hari pertama di London, aku berehat sakan. Dengan jetlag yang ada, dan waktu sesampainya di London sudah pun agak lewat petang, tak mampu untuk aku ke mana2. Hari kedua, aku habiskan sedikit masa untuk merayau2 menimba pengalaman hidup di London ditemani seorang sahabat handai. Patut ku muatkan juga ucapan ribuan terima kasih kepadanya atas kesanggupan untuk turun ke London dalam memastikan kami sekeluarga tidak terpinga2 mencari hala tuju. Dengan tidak ada pengalaman berada di negara orang, dengan bahasa komunikasi yang agak terbatas, geografi dan kawasan yang tidak pernah dijejaki, aku pasti bantuannya memang sangat2 memberi manfaat.
.
Seiringan itu, emel dari supervisor sudah pun menyapa hari kedua ku di London, bertanyakan khabar perjalanan ku ke London. Aku sahut emelnya dengan rasa gembira mengkhabarkan sedikit situasi ku pada ketika itu. Di hujung emelnya, sempat dia mengajak aku untuk bersama dalam kelas nya (Finite Element Analysis) yang biasa diajarnya kepada para pelajar ijazah. Walaupun aku sudah merancang untuk mengambil masa seminggu bagi tujuan penyesuaian diri di London, namun tidak pula sanggup untuk menolak ajakannya untuk hadir ke kelas pada hari keempat nanti. Lalu aku ubah sedikit plan asal, hari ketiga, aku perlu menjenguk ke IC, mempelajari serba sedikit metod perjalanan yang sesuai, sebelum hari esoknya yang aku perlu untuk hadir ke kelas supervisor ku.
.
Dengan sedikit panduan dan pengalaman selama dua hari di London, dan juga dengan bertanyakan kepada jiran di situ, yang juga pelajar IC, akan perjalanan yang termudah untuk sampai ke IC, alhmadulillah tidak susah untuk ke sana. Hanya perlu menunggu bas di sekitar kawasan rumah yang ku tumpang itu, ambil bas bernombor 70, duduk sehingga sampai ke hentian akhirnya. Terdetik hatiku berkata, strategik benar penempatan yang ku duduki sekarang, hanya satu perjalanan bas mampu sampai ke IC. Lalu timbul hajat untuk pencarian rumah hanya di sekitar itu. Apepun, ku ketepikan dulu rancangan untuk mencari rumah, selepas urusan pendaftaran di IC selesai nanti barulah difikirkan semula.
.
Aku sangkakan semudah itu perjalanannya, naik, duduk dan tunggu. Tetapi rupanya ternyata kebiasaan itulah perlu ada sebelum mengatakan sesuatu itu mudah. Mungkin ini pengalaman yang sukar untuk aku lupakan. Pagi2 lagi aku ke kedai berhampiran untuk membeli tiket, tetapi kata penjualnya, harga tiket sebelum 9.30pg agak melampau harganya memandangkan waktu itu masih berada di dalam waktu puncak (peak hour). Lalu aku tunggu sebentar, dalam lingkungan setengah jam, bagi memperolehi tiket yang murah. Sedapatnya tiket di tangan, aku terus menungu bas 70, naik, duduk dan tunggulah aku menanti destinasi akhir.
.
Tidak sampai separuh perjalanan, perutku dah mula rasa berangin, tekak pula rasa mual, loya, rasa nak terkeluar apa yang disarapankan pagi tadi. Tersalah makan ke aku? Atau sudah basi ke nasi semalam yang digorengkan? Atau bas inikah yang pemanduannya terlalu kelam-kabut membuatku pening? Aku cuba tahan juga sehinggalah pada saat yang tak dapat tertahan lagi, dengan segera melulu turun bas dan terus ke tempat yang kurang orang lalu-lalang. Tercari2 tempat yang sesuai di mana hendak dimuntahkan. Beberapa minit kemudian, termuntah juga aku. Entah di mana, aku pun dah tidak berapa ingat, yang pastinya, di sekitar kawasan tempat laluan bas 70.
.
Sesudah itu, segera aku ke kedai membeli air mineral. Berdeguk lega menelan air, dan terus ku sambung semula niat untuk ke IC. Aku cuba naik bas lain pula yang searah dengan bas 70 dan kali ini, aku cuba ubah posisi duduk ku di tingkat atas bas, dan di depan sekali. Mungkin aku perlukan pemandangan yang luas seperjalanan di dalam bas. Tak sampai beberapa hentian, mula rasa mual semula. Dan kali ini, semasa aku bergegas keluar, termuntah juga kerana tak mampu nak bertahan lagi. Aku tak pasti samada penumpang lain perasan ke tidak. Bakinya aku muntahkan ke tepi jalan besar. Sudah tidak difikirkan malu atau segan, yang penting aku dapat muntahkan semua. Hmmm.. pengalaman pertama di London yang sukar untuk dilupakan. Bila difikir2 semula, apalah agaknya reaksi orang ketika itu.
.
Kemudian aku cuba untuk berjalan kaki pula kerana yakinku, IC tidaklah jauh sangat dari situ. Tetapi sepanjang perjalanan aku muntah2. Akhirnya aku putuskan untuk balik sahaja ke rumah kerana pakaian ku berbau muntah. Tapi, kali ini aku berhajat untuk menaiki tube pula. Sekali lagi dalam perjalanan aku termuntah2. Entah berapa stesen tube aku kotorkan pun aku tak pasti.
.
Semua itu ternukil dalam catatan pengalaman peribadi. Nak ku sorokkan pun apalah gunanya kerana pengalaman itu tetap bertuankan aku juga, tak kira ke mana aku mahu lari atau cuba menyahkann dari diari hidup. Mungkin ada hikmah pengalaman itu disaji sebegitu rupa. Apepun yang pastinya, aku dah serik nak naik bas di London (buat sementara). Selepas dari peristiwa itu, aku terus menerus menggunakan perkhidmatan tube (dalam 2-3 bulan) walaupun ramai yang kata ianya mahal dan membazir memandangkan bas 70 itu lah yang paling mudah dan murah.
.
(insyaAllah aku akan sambung cerita hari keempat di Imperial College, dalam entri yang akan datang)
.

1 ulasan:

  1. saya ingin dapatkan panduan belajar di luar negara.
    boleh tuan email saya?
    ashikin_rasidi@yahoo.co.uk

    BalasPadam