Waktu ku tulis entri ini, aku telah pun meletakkan langkah ku dipermulaan pendakian Ramadhan. Kata orang bukitnya tinggi dan penuh rintangan, terpulang pada persepsi masing2 untuk menganaloginya. Pada aku, Ramadhan inilah tempatnya untuk kita melatih membina kekuatan rohani, ibarat kita melatih kekuatan jasmani di kala pendakian gunung. Cuma bezanya, pendakian ini tidak akan pernah sampai ke puncaknya, kerana mana mungkin kita boleh katakan yang kita telah pun sampai ke suatu tahap yang tidak perlu ada lagi usaha untuk memperbaiki jiwa rohani. Oleh itu pendakian ini merupakan simbolik dalam kita pertingkatkan darjat di sisi Allah. Dan sudah pasti dalam pendakian, pasti ada dataran2 mendatar yang dilalui, yang ketika itu diibaratkan kita mungkin terlalai leka buat seketika dalam usaha mempertingkatkan diri.
.
Ramadhan kali ini ku rasakan lain. Mana tidaknya, suasana berada di negara orang sangat jauh berbeza. Hendak dijadikan cerita, seminggu sebelum Ramadhan yang lalu, aku telah pun diwar2kan bahawa puasa akan berkemungkinan besar jatuh pada hari Jumaat. Ramai yang berkata begitu dan kalendar2 Islam juga tulis begitu. Di Malaysia, biasanya kiraan kalendar (melalui ilmu astronomi) lebih tepat, dan melihat anak bulan itu hanya sekadar untuk lebih memastikan. Tetapi ia tidak begitu di sini. Pada malam menunggu keputusan satu Ramadhan, aku awal2 lagi meletakkan keyakinan bahawa esok (Jumaat) puasa. Segera aku bersiap2, membawa keluarga ke MSD untuk bertarawikh. Terserempak dengan ustaz di sana, setakat bertegur sapa, sedikit pun tak terbicara tentang tarikh permulaan puasa, kerana mungkin masing2 meletakkan andaian bahawa sudah mendapat info yang sewajarnya.
.
Selepas berehat sebentar di ruang kafe, kami terus ke surau. Tiada orang kelihatan kerana waktu masih awal. Ku penuhi masa dengan solat sunat dan bacaan al-Quran. Agak lama selepas itu, ragu2 mula menyeliputi diri. Jam sudah pun memperlihatkan kelewatan untuk solat Isyak, tapi masih tiada orang yang datang. Ustaz yang tadinya bertembung, pun tiada di sekitar situ. Andaian sengaja aku cetuskan, mungkin Isyak terlalu lewat (10.30 malam) maka ramai yang memilih untuk solat di rumah. Tapi.. takkanlah semua tak datang, ianya agak mustahil. Agak lama kemudian, terus ku capai telefon, melalui sms, aku tanyakan ustaz “jadi ke terawih nya?”. Ustaz pun balas dengan panggilan telefon.. “terawih apa nya? Puasa hari Sabtu lah”.. hahaha.. Lucu juga peristiwa itu. Boleh aku muatkan lagi dalam buku nostalgia di perantauan. Mujur tidak aku teruskan andaian sehingga ke sahur dan berpuasa, pastinya jadi lebih bertambah lucu.
.
Aku pasti, banyak teladan yang mungkin boleh dimuhasabahkan, terutamanya ‘andaian awal’ yang tidak pula disahihkan kemudiannya. Tetapi apa yang nak aku gambarkan sebenarnya ialah, betapa terhadnya info di negara orang tentang aktiviti2 Islam hinggakan permulaan Ramadhan pun boleh terlepas pandang. Tiada pengumuman TV, radio (mungkin ada di radio2 tertentu, tapi aku tak pasti), rakan2 pun jauh untuk bertanya, sms pun tiada dihantar. Hanyalah sekadar di laman2 web, blogger, facebook, yang memang salah aku kerana tidak membukanya.
.
Keduanya, mungkin ini pengalaman baru, setiap pihak yang bertanggungjawab (pihak masjid biasanya) tentang aktiviti2 Islam di satu2 kawasan berhak menentukan tarikh permulaan Ramadhan (dan Syawal) mengikut observasi (melihat anak bulan) dan keyakinan masing2. Sebab itu di UK, ada sesetengah kawasan yang mengumumkan Ramadhan bermula Jumaat dan sebahagian yang lain, hari Sabtu, walhal kawasan2 itu tidaklah jauh antara satu sama lain. Ibaratnya di Malaysia, Johor puasa hari Sabtu, tetapi Kedah puasa hari Jumaat. Pelik bukan?
.
Apapun, yang jauh lebih bermakna dari itu ialah, dengan memanjatkan syukur yang tidak terhingga, kita diizinkan juga oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke bulan Ramadhan al-Mubarak. Sekilas ku terkenang akan saudara2 se-Islam yang gugur awal (asbab wabak H1N1 dan lainnya) yang tidak dapat menjamah sedikit pun keberkahan Ramadhan kali ini. Sejurus itu aku terfikirkan bagaimanakah jodoh kita akan pertemuan dengan Ramadhan yang akan2 datang. Lantas jawapan yang mudah, yang isteri ku pernah ucapkan, hiaskanlah Ramadhan kali ini dengan secantik mungkin, pasti penyesalan tentang tidak berketemukan Ramadhan yang akan datang dapat dikurangkan.
.
Sangat indah Ramadhan yang diciptakan. Di antara bulan2 yang dua belas, Allah jadikan satu daripadanya yang lebih bercahaya, yang mampu untuk memberi suntikan motivasi dalam proses pengabdian kita kepada Allah, sebagaimana strategi2 jualan murah (sale) yang diadakan sekali (atau mungkin beberapa kali) setahun. Malah ia lebih dari tujuan itu. 30 hari diberikan oleh Allah untuk kita mencari ‘rhythm’ tentang perjalanan hari yang terbaik untuk seorang Muslim. Bagaimana bangunnya seawal pagi, solat malam, zikir dan bacaan al-Quran yang tidak pernah putus, doa2 sebagai senjata mukmin. Lalu rutin ini bila dilepaskan di hujung Ramadhan nanti, ia akan memberi satu impak momentum yang kuat untuk terus dilaksanakan. Sudah pasti kita akan rasa benar2 kehilangan sekiranya nanti kita terpisah dengan rutin yang telah kita nukilkan sepanjang Ramadhan. Dan sengaja Allah uji hambanya di akhir Ramdhan nanti dengan sedikit nikmat keseronokan hari raya (besar dugaannya tu), untuk menyaring di kalangan umatnya, siapakah yang lebih bertaqwa.
.
Wallahu’alam bissawab. Marilah kita sama2 panjatkan doa agar diberi kekuatan yang jitu untuk kita memperbaiki diri dan membangunkan jiwa rohani. Doakanlah juga agar kita mampu terus mengabadikan rutin harian mukmin yang sejati sepanjang tahun hingga bertemu Ramadhan yang akan datang. Sudah menjadi lumrah, Ramadhan pergi dan Ramadhan kembali, Iman berputik dan layu semula, tetapi sekurang2nya berazamlah untuk memastikan bahawa keimanan kita selepas setiap kali Ramadhan itu lebih baik dari sebelum Ramadhan, bagi membuktikan proses penyucian hati itu benar2 berlaku.. insyaAllah. Selawat dan salam buat Nabi junjungan, juga kepada keluarga dan sahabat baginda.
.
Sabtu, 22 Ogos 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan