Sedang aku menela’ah sedikit literatur kajian untuk penulisan conference paper yang sedang aku usahakan buat masa sekarang, teringat pesanan isteriku untuk memberi sedikit ruang masa untuk mengkhadam dua tiga perkara dalam entri blog Saiful-Islam, yang agak relevan dengan kehidupan kami ketika ini, yakni beberapa peringatan dan muhasabah tentang melahirkan dan menyambut bayi..
.
Aku tak pasti ia bersesuaian atau tidak untuk aku selitkan ke dalam blog ini, tetapi dengan tidak disengajakan, aku telah pun menukar tajuk blog ini kepada ‘Aku, PhD dan kehidupan’, berbanding yang lama hanya ‘Aku dan PhD’.. menjadikan aku rasa bertambah sedikit kredit keharusan untuk aku nukilkan juga apa yang teringin aku kongsikan tentang apa yang baru sekejap tadi ku baca..
.
Walaupun entri dalam blog Saiful-Islam itu menceritakan pengalaman dan penghayatan dari perspektifnya, namun bila aku membacanya, pengalaman bersama kelahiran pertama anak ku jua turut mencuri tumpuan mengiringi pembacaan ku tadi.. indah bukan ciptaan Allah? Sangat indah tentang apa yang dinamakan sebagai ‘ingatan’.. mudah terpintas dengan memori yang tersimpan, lalu mewujudkan perspektif pembacaan yang agak berbeza daripada apa yang mungkin hendak disampaikan oleh penulis.. sebab itu suka aku ulangi ayat yang pernah ku lontarkan dalam entri yang lepas bahawa.. memang singkat pemikiran kita untuk menentukan pada siapa yang blog ini bakal termanfaat, tetapi aku yakin pada setiap yang baik itu pasti ada pemberi dan penerimanya.. walaupun kita rasa tidaklah sangat relevan untuk orang membaca kisah hidup kita, tetapi roh sebenar penghayatan dalam penulisan dan pembacaan itu lebih daripada apa yang pernah kita fikirkan..
.
Sempat isteri ku mengusik, “kesediaan suami seperti itu (yang dicadangkan oleh Saiful-Islam) yang perlu ada”.. ya, Alhamdulillah aku akur bahawa memang sangat signifikan apa yang dicadang itu.. dan bila perbincangan tentang kelahiran bayi itu berpanjangan sedikit, tersentuh pula perasaan isteriku tentang sakitnya bersalin, ketika meraikan perbualan kisah persalinan isteri kepada Saiful-Islam itu.. ya, secara jujur aku bersimpati dengan kesakitan yang bakal dihadapani.. tapi, Allah hanya memberi kesempatan seperti itu kepada lelaki, tanpa punyai pengalaman sebenar mengharungi pertarungan hidup dan mati ketika melahirkan.. lalu hanya yang mampu dilakukan adalah berdoa sehabis-habisan dan berusaha yang sebaiknya, seperti yang juga disebutkan oleh Saiful-Islam.. Doa terbaik seorang suami untuk isteri yang sedang bertarung nyawa, ialah doa bersulam usaha di sisinya..
.
Sejenak aku terfikir, kenapa wanita? Kenapa agaknya wanita yang perlu mengharungi itu semua, sedangkan kekuatan dan keyakinan lelaki itu ‘lebih’ dari wanita, maksudku, bukankah lelaki lebih layak?.. pada aku (walaupun permisalan ini agak melampau), KALAU diberikan peluang untuk aku ambil alih tugas melahirkan, aku lebih sanggup menerimanya.. daripada melihat isteriku bertarung nyawa ketika bersalin.. tapi ia tidak akan terjadi sekali-kali.. lalu.. aku memang sangat pasti.. beribu alasan dan hikmahnya kepada kaum wanita itu tentang mengapa mereka lebih layak untuk memikul tanggungjawab tersebut telah pun tersedia..
.
Termenung aku fikirkan perkara itu.. mungkinkah kasih sayang yang menjadi ukuran? ataupun ketabahan diri? Kesabaran? Kelembutan sifat? Atau bayi yang comel anugerah Ilahi itu lebih sesuai datangnya dari wanita?.. atau mungkin dari sudut saintifik, lebih banyak kebarangkalian jawapan yang akan ditemui.. apa pun, aku tabik kepada kaum wanita, terutamanya isteriku yang tersayang, yang walaupun tahu, dan apatah lagi berpengalaman merasakan kegetiran di saat melahirkan, namun tetap memilih untuk mempunyai cahaya mata lagi.. bukanlah tidak serik, tetapi sedar dan yakin akan besarnya hikmah di sebalik tabir melahirkan itu..
.
Kemudian, isteriku menulis (dalam skype), seringkali doa yang tidak putus2 mengiringi solat, hanyalah doa agar dipermudahkan bersalin, dan jika ‘terlanjur’ dari itu, maka izinkanlah ya Allah untuk dimatikan dalam keindahan iman.. tersentak juga perasaan ini mendengarkannya, moga tidak diuji akan ujian yang seberat itu pada ketika ini.. walau bagaimanapun aku tetap akur dengan janji Allah bahawa yang manusia itu tidak akan diuji melainkan apa yang mampu tertanggung olehnya.. kepada Allah jua kami pasrah..
.
Beruntung para wanita, walaupun dari satu sudut, kesakitan teramat sangat menunggu kelahiran, namun dari satu sudut lain, Allah sebenarnya memberi lebih kasih-sayangNya kepada mukminin, tentang PERINGATAN akan kematian yang mengiringi sepanjang masa hamil.. dalam perjalanan menuju kelahiran nanti, beribu2 doa dan tawakal mampu dikumpul, agar nanti KESEDIAAN menghadapi simpang dua cabang (hidup dan mati) sudah pun ada di sisi.. bayangkan kalau lebih sepuluh kali mengharungi keadaan itu, mungkin kesediaan yang padu telah pun termeterai, lalu apalah sangat kematian bagi mereka, indahnya bertemu Allah itu lebih berkobar2 semangatnya..
.
Sungguh cantik setiap apa yang diciptakan Ilahi.. subhanAllah.. penuh dengan keajaiban dan seribu satu hikmah.. tinggal kita sahaja yang perlu mencari dan memahaminya.. tapi seperti biasa, syaitan itu tetap sentiasa ada dalam memenuhi tujuan khianat nya memesongkan manusia.. buat isteriku, berdoalah agar dilindungi oleh Allah akan tipu daya syaitan, agar penghayatan kelahiran yang hakiki mampu dikhadam.. berdoalah juga agar tidak terlampau memikirkan akan perkara yang tidak sepatutnya berada dalam fikiran seorang mukmin, kerana takut ianya diilhamkan oleh syaitan yang dilaknat..
.
Kepada yang bernama wanita, atau lebih tepat, para pejuang wanita, termasuk isteriku jua, ambillah tanggungjawab melahirkan ini dengan penuh ketabahan.. simpulan senyuman yang menukilkan keyakinan akan janji-janji Allah, pada ketika menerima tanggungjawab itu jualah yang diharapkan.. Salam perjuangan..
.
Jumaat, 17 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan