Hari ini, 6 Oktober, jam 5.47ptg, sendirian aku termenung mengimbau kenangan lama di waktu mula2 mencecahkan kaki ke tanah UK. Teringat lagi, di waktu begini lah, pada tanggal 6 Oktober tahun lepas, aku baru sahaja keluar dari Lapangan Terbang Heathrow, disambut oleh Pak Man dan sahabat handai. Menyedut udara UK yang agak dingin ketika itu, aku memacakkan tekad untuk berjuang menuntut PhD yang bakal ditebus dengan usaha dan tawakal.
.
Dan kini, beberapa detik tadi, bersempena dengan bermulaannya tahun kedua bergelar calon PhD (PhD candidate) di Imperial College London, aku perbaharui semula azam itu, untuk mengejar cita2 PhD dengan kesungguhan yang padu. Aku tak sangkal bahwa semakin teguh aku pacakkan tiang semangat juang ini, semakin lagi ia bergoyang dek gegaran2 tempias daripada khabar2 kurang baik yang pernah diceritakan oleh beberapa rakan sepanjang aku di sini.
.
Sambil menarik nafas panjang, aku sematkan kata2 semangat ke lubuk hati ini sedalam2nya, bahwa semua rezeki sudah pun tertulis sejak azali lagi. Dah bermacam2 pakar motivasi berkata, catatan2 pembangun semangat dicoretkan, kisah2 teladan disajikan.. Namun yang menjadi penyambung kepada rantaian hukum alam yang diakhiri dengan tawakal itu, adalah usaha, usaha yang datang dari dalam diri, yang menggerakkan semua jentera anggota dan panca indera. Hanya kita yang mampu mencorak nasib diri kita, dengan keizinan Ilahi pastinya.
.
Berkebetulan aku mulakan entri ini dengan tajuk 'kisah lama', elok juga kalau aku sambung entri seawal aku di London yang pernah aku kongsikan dulu.. tiga hari awal di London penuh dengan pengalaman pahit dan manis, hari2 kemudiannya tidak kurang ragamnya..
.
Pada hari keempat, kerana pengalaman yang banyak mengajar pada hari semalamnya, aku keluar agak lewat. Meskipun terpaksa menaiki bas juga, tetapi ia hanya untuk ke stesyen tube yang berhampiran sahaja. Dalam dua hentian, aku turun dari bas dan terus menaiki tube di East Acton. Tidaklah agak risau memandangkan stesyen itu biasa aku naiki sebelum ini. Tapi ia memerlukan aku menukar tube untuk sampai ke South Kensington. Walaupun agak tercari2 namun alhamdulillah sampai jua ke tempat yang dituju. Sempat aku menelefon rakan ku bekas pelajar IC, dia mengajar ku jalan pintas ke Imperial College melalui jalan bawah tanah.
.
Dan ketika baru sahaja aku nak melangkah menaiki tangga menuju ke pintu masuk IC, ade seseorang menyapa. Risau juga aku, entah apa yang dimahukan. Rupa2nya dia sedang membuat soal selidik dan mencari responden yang boleh memberi kerjasama, lalu aku jawabkan sahaja apa yang ditanyakan walaupun aku rasa soalan2 yang ditanyakan itu lebih sesuai direspon oleh orang yang sudah lama menetap di UK. Selepas itu ku ke Reception, tanya ku “where can I register for PhD?”, walaupun agak umum soalan itu, dengan segera staf itu meminta ku untuk terus ke bangunan pentadbiran berpandukan arah yang ditunjuknya.
.
Aku terus ke bangunan yang dimaksudkan. Malangnya, selepas beberapa kali aku berpusing2 di sekitar situ, aku akui yang aku tak menjumpai di mana bangunan pendaftaran yang sepatutnya aku datangi. Aku pula segan untuk bertanya kerana risau kalau2 aku sukar memahami dialek English UK. Malu bertanya sesat jalan, tetapi memang tak keluar suara ini untuk bertanya. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk terus ke Civil Engineering Department memandangkan aku perlu menghadiri kuliah supervisor pada sebelah petang nanti.
.
Berpandukan papan tanda yang telah beberapa kali aku menela’ah dari tadi, ketemu juga aku dengan bangunan Skempton di mana Civil & Environmental Engineering Dept. ditempatkan. Waktu itu, jantung mula berdegup laju, maklumlah tak berapa lama lagi, aku akan berhadapan dengan seorang profesor yang pastinya akan menghadap ku selama 3 tahun sekurang2nya. Hanya doa ku panjatkan agar aku beroleh seorang supervisor yang ‘sporting’ yang tidak membawa kepada kisah2 tidak senang yang pernah aku dengari sebelum ini. Setelah memastikan lokasi kuliah di mana aku perlu hadir nanti, tinggal masa lebih kurang setengah jam, aku bersegera mencari surau berhampiran kalau2 ada. Tetapi surau agak jauh. Selesai mengerjakan solat, aku terus semula ke lokasi tadi.
.
Petang itu, aku hadiri kuliah Finite Element Analysis yang disampaikan oleh supervisor ku, bersekali dengan pelajar2 Ijazah dan Master. Ramainya boleh tahan, bercampur baur dari pelbagai bangsa, sempat jugak aku mencari kalau2 ada pelajar Malaysia. Ada lah seorang yang bertudung, dari cara pemakaian, rasanya seperti Malaysian, yang lain ramai juga dari China, dan negara2 Eropah yang lain..
.
Tekun aku mendengar syarahan profesor, alhamdulillah dengan persiapan yang agak intensif di UTM sebelum aku ke sini, sedikit sebanyak aku dapat memahami apa yang disampaikan denga mudah. Terima kasih kepada kawan senior ku di UTM yang sudi mengajar aku berkenaan Finite Element yang selalunya menjadi mimpi ngeri pelajar2 kejuruteraan. Tamat sahaja kuliah, aku terus ke hadapan bertemu supervisor buat pertama kalinya bersua muka. Daripada gaya syarahan dan bahasa yang dituturkan sama ada semasa kuliah tadi mahu pun dalam emel2 sebelum ini, aku yakin dan pasti dia adalah seorang yang agak terbuka sifatnya dan tidak terlampau tegas orangnya.
.
Aku kemudian di bawa berjumpa dengan rakan2 sebilik, yang juga pelajar2 PhD dan ada juga RA (Researh Assistant), yang datangnya dari Portugal, Italy, China, Pakistan dan Iran. Baru aku perasan, ada antara mereka pun mengambil bahagian dalam kuliah tadi. Kemudiannya, sedikit perbincangan dengan supervisor untuk mengatur perjumpaan dan sebagainya. Dia bersetuju untuk membekalkan ku sedikit masa untuk aku menyelesaikan perihal rumah sewa dan perihal2 penempatan yang berkaitan, sambil mengirim dua tiga kerja rumah yang perlu aku bawa pada pertemuan kali kedua nanti. Dengan berbekalkan semangat yang jitu, aku sambut semua itu dengan penuh keyakinan.
.
Jam sudah agak lewat petang, bergegas aku ke stesyen tube tidak jauh dari situ, dan kebetulan sesampainya aku di situ disambut dengan tube yang baru dibuka pintunya. Tanpa fikir panjang, aku masuk dan berdiri di mana ruang yang ada. Bila agak jauh perjalanan, aku disedarkan dengan perjalanan yang agak berlainan daripada perjalanan datang pagi tadi. Bila aku semak semula, rupanya aku tersalah menaiki tube, dan tidak lama lepas itu baru aku sedar, rupanya ada beberapa tube yang akan berhenti di South Kensington, yang masing2 mempunyai hala tuju tersendiri. Patutlah orang2 di situ sangat berhati2, beberapa kali memastikan paparan skrin dan papan2 tanda, soal ku di dalam hati, kenapa tidak terus sahaja ambil tube yang dah ada di depan mata, sekarang baru aku faham. Segera aku turun dan mengambil tube untuk berpatah balik. Aku sampai di East Acton setelah magrib, menaiki bas untuk ke rumah, malangnya kesesakan lalulintas agak teruk. Akhirnya aku putuskan untuk berjalan kaki sahaja. Boleh tahan jaraknya, cukup membuatkan tidur malam itu berdengkur jadinya.
.
Hhmmmm.. mengeluh juga aku bila memikirkan kisah2 lama yang agak meletihkan seperti itu. Benar orang kata, jauh perjalanan, luas pengalaman, apatah lagi di negara orang, banyak perkara yang di luar jangkaan terjadi, yang secara tidak langsung mematangkan kita sepanjang meniti perjalanan hidup di bumi tuhan yang luas ini. Sekian dulu. Wassalam.
.
Selasa, 6 Oktober 2009
Langgan:
Catatan (Atom)